Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah mengesan satu pautan palsu yang tular dikongsi melalui platform whatsapp berkenaan 'Cabutan Bertuah Petronas' pada hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata dalam kenyataan media hari ini, pautan tersebut jika ditekan akan membawa pengguna ke laman web yang dipercayai sebagai 'phishing website' yang menyerupai laman asal.
"Pautan tersebut https://thursdaystagnation.top/petronas-gf/tb.php?oiescilfi1650589983456 adalah merupakan laman palsu dan orang ramai dinasihatkan untuk tidak melayari kandungan laman web tersebut," katanya dalam kenyataan.
"Dipercayai laman web tersebut mengandungi Trojan/Malware yang boleh membahayakan data yang tersimpan di peranti milik pengguna"
Hasil siasatan mendapati pautan tersebut akan membawa pengguna ke laman web yang kelihatan seperti laman web cabutan bertuah yang dianjurkan oleh pihak Petronas.
Pengguna akan diminta untuk menjawab empat soalan kaji selidik ringkas yang dipercayai direka bagi tujuan mendapatkan data pengguna (phishing)
"Seteleh selesai menjawab kesemua soalan, pengguna dikehendaki menghantar pautan tersebut kepada 20 orang yang lain," ujarnya lagi.
Semakan lanjut mendapati laman web tersebut adalah palsu dan tiada sebarang kaitan dengan pihak Petronas.
Sementara itu, pihak Petronas turut mengeluarkan kenyataan amaran mengenai pautan palsu yang tular di platform whatsapp itu dan memaklumkan tiada mempunyai kaitan dengan 'tinjau selidik' tersebut dan menasihatkan orang ramai agar tidak terpedaya.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID SC RESPONSE CENTER di Galian 03-26101559 atau 03-26101599.