Thursday, July 08, 2021

PDRM Sarikei Tampil Dalam "OP BANTU"


SARIKEI: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Sarikei amat prihatin dengan situasi masyarakat setempat yang terkesan ekoran daripada pandemik COVID-19 yang sedang melanda negara pada ketika ini. 


Seiring dengan slogan Polis "Sedia Berkhidmat" PDRM daerah Sarikei telah mengenalpasti beberapa individu yang memerlukan serta menyampaikan bantuan kebajikan kepada masyarakat pada Selasa.



Secara tidak langsung pihak Polis turut sama-sama membantu masyarakat yang mengalami kesempitan hidup akibat hilang mata pencarian atau mereka yang terjejas pendapatan isi rumah semasa pandemik COVID-19. 


Timbalan Ketua Polis Daerah Sarikei DSP Benedict Faris Jimoy berkata, kami turut merasa kepahitan hidup warga penduduk Sarikei yang terjejas dalam menghadapi cabaran pandemik COVID-19 ini.



" Sumbangan ini adalah inisiatif daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui PDRM dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang telah melancarkan 'Op Bantu' bagi memberi bantuan segera kepada mana-mana individu yang terputus bekalan makanan di seluruh negara termasuklah daerah Sarikei "

" Sekurang-kurangnya ia dapat meringankan sedikit sebanyak beban masyarakat yang terjejas serta sebagai tanda sokongan serta memberikan semangat kepada masyarakat untuk terus berjuang bersama-sama kita dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini, " katanya ketika ditemui oleh pihak media. 



Setakat ini sejumlah 20 buah rumah telah dikenalpasti dalam daerah Sarikei antaranya adalah di kawasan Drahman Keria, Kampung Baji, Jalan Ixora dan juga di kawasan Taman Susur Jambu.


" Selain itu Skuad Aman Wanita (AMANITA) yang terdiri dari kalangan anggota dan pegawai PDRM turut terlibat dalam program kemasyarakatan ini untuk membantu di lapangan, " tambahnya lagi. 



Dalam pada masa yang sama, anggota RELA yang berada di lapangan akan ditugaskan untuk melakukan rondaan bagi mendapatkan maklumat bagi tujuan bantuan kepada mana-mana individu yang memerlukan bantuan segera.


Bagi individu yang terputus bekalan makanan mereka diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah)(IPD) berdekatan untuk mendapatkan bantuan segera manakala individu yang tidak dapat hadir ke IPD, mereka diminta menghubungi IPD atau talian Whatsapp Khas Op Bantu yang akan diumumkan kelak.


Kesemua maklumat penerima sumbangan bantuan akan diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi tindakan lanjut dan untuk mengelakkan masalah pertindihan maklumat di peringkat perlaksanaan. 


DSP Benedict turut serta dalam penghantaran juga pengagihan sumbangan Op Bantu bersama beberapa pegawai kanan dari IPD  Sarikei, Skuad AMANITA dan juga anggota RELA daerah Sarikei.

Laman Web Palsu Cabutan Bertuah Petronas

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah mengesan satu pautan palsu yang tular dikongsi melalui platform whatsapp berken...

Artikel Pilihan