KUALA LUMPUR, 23 Nov Pembayaran Fasa 2 Bantuan Khas COVID-19 (BKC) akan dibuat mulai Khamis ini (25 Nov) dengan peruntukan RM300 juta.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini berkata bayaran kedua itu akan melibatkan 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin.
"Seperti semua sedia maklum, pembayaran Fasa 1 BKC telah selesai dibuat pada bulan September yang lalu dengan peruntukan sebanyak RM3.1 bilion dan memanfaatkan hampir 10 juta penerima.
"Pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 BKC akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan pada bulan Disember melibatkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40," katanya.
Bagi penerima isi rumah, warga emas dan individu bujang bayaran akan terus dikreditkan ke dalam akaun mereka manakala penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak pembayaran melalui cawangan Simpanan Nasional (BSN).
Semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKC https://bkc.hasil.gov.my
Ismail Sabri menegaskan kerajaan sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC itu mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID 19.
"Bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan terus komited memastikan bantuan yang disediakan dapat disalurkan secara berkesan," katanya.
BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi.
Pada 28 Jun lepas, kerajaan mengumumkan pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik COVID-19.
Di bawah BKC, kategori miskin tegar, isi rumah akan menerima RM1,300; warga emas sebatang kara (RM500) dan bujang (RM500).
Bagi kategori B40, isi rumah akan menerima RM800, warga emas sebatang kara (RM200) dan bujang (RM200) manakala kategori M40, isi rumah layak menerima RM250, warga emas sebatang kara (RM100) dan bujang (RM100).
Kredit: BERNAMA