PERMULAAN FASA PERALIHAN MONSUN
Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 16 Mac 2021 dan berterusan sehingga pertengahan Mei 2021. Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 11 November 2020.
Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.
Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.
Ketua Pengarah
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Kementerian Alam Sekitar dan Air 12 Mac 2021
No comments:
Post a Comment