PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memberikan tawaran pengurangan pembayaran saman sehingga 70 peratus kepada 3.5 juta notis saman yang masih aktif.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata tawaran berkenaan bermula esok kepada semua saman yang boleh dikompaun, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. Foto fail NSTP |
Bagaimanapun, katanya, pengurangan saman berkenaan tidak termasuk kes dalam sebutan mahkamah.
"Sejak 2010 sehingga Mac tahun ini, kita dapati sebanyak 3.5 juta saman masih aktif yang belum diselesaikan.
"Jadi, dengan tawaran yang dilaksanakan ini, kita harap individu berkenaan dapat membayar saman yang tertunggak," katanya pada sidang media selepas majlis Sambutan Ulang Tahun JPJ Ke-75 di Kementerian Pengangkutan, di sini, hari ini.
Ka Siong berkata, pembayaran saman berkenaan diharap dapat dijalankan secara dalam talian menggunakan portal JPJ bagi melancarkan proses kerana sebelum ini, kebanyakan mereka dilihat lebih selesa hadir ke cawangan JPJ.
Katanya, pengurangan saman itu sedikit berbeza kerana tempoh yang diberikan lebih lama iaitu dua bulan berbanding sebulan sebelum ini.
Pada majlis sama, Ka Siong turut memperkenalkan sistem menunggu giliran secara dalam talian yang dikenali sebagai JPJeQ.
"JPJeQ adalah aplikasi yang membenarkan pelanggan membuat pilihan cawangan JPJ yang tidak ramai pelanggan serta menggunakan kod QR bagi mendapatkan nombor giliran.
"Sistem ini juga mesra orang kurang upaya (OKU), warga emas dan berkeperluan khas. Ia dibangunkan selaras hasrat kerajaan dalam mengamalkan norma baharu COVID-19," katanya.
Ka Siong turut melancarkan siri nombor pendaftaran 'FD' bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya yang boleh dibida hari ini sehingga jam 10 malam, 16 April ini.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment