Friday, March 12, 2021

Jawatan "Guru Kimia" di MRSM Betong


IKLAN JAWATAN KOSONG GURU SAMBILAN DI MRSM BETONG

Guru Kimia Sambilan - 1 Kekosongan

Sukacita MRSM Betong mempelawa calon-calon yang berminat dan mempunyai kelayakan yang bersesuaian dengan subjek di atas untuk memohon secara bertulis serta mengemukakan dokumen dan salinan sijil transkrip skrol seperti berikut

i. Data Peribadi(Resume).

ii. 2 keping gambar warna saiz passport terbaharu

iii. Salinan kad pengenalan (disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara),

iv Salinan Sijil Pelajaran Malaysia, transkrip dan skrol ijazah berkenaan ( disahkan oleh pegawai kerajaan kumpulan A).

Permohonan bertulis yang lengkap hendaklah dihantar kepada Pengetua MRSM Betong sebelum / pada Selasa, 22 Mac 2021

Hanya calon-calon yang tersenarai pendek sahaja akan dipanggil temuduga dan calon yang berjaya akan dihubungi oleh pihak MRSM Betong

Calon-calon yang tidak dihubungi dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh tutup permohonan hendaklah menganggap permohonan mereka sebagai tidak berjaya


Sekian, terima kasih


" PRIHATIN RAKYAT DARURAT MEMERANGI COVID-19 "

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

"LUAR BANDAR SEJAHTERA


Saya yang menjalankan amanah

(RAMLAH BINTI SALLEH)


Pengetua

Maktab Rendah Sains MARA Betong

Sarawak

Peralihan monsun bermula 16 Mac ini


PERMULAAN FASA PERALIHAN MONSUN

Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 16 Mac 2021 dan berterusan sehingga pertengahan Mei 2021. Permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang telah bermula sejak 11 November 2020.

Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang amat sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat. 

Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.

Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melalui laman web rasmi Jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi Jabatan.

Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.


Ketua Pengarah 

Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) Kementerian Alam Sekitar dan Air 12 Mac 2021

Tuesday, March 09, 2021

68 Buah rumah panjang masih 'lockdown' - JPBNS


Ringkasan Kejadian Jangkitan Covid-19 Yang Melibatkan Rumah Panjang Di Sarawak.

Sehingga 09 Mac 2021, seramai 2,082 atau 18.09 peratus dari jumlah kes yang dilaporkan adalah kes yang telah dikesan telah berlaku di rumah panjang di seluruh Sarawak.

Bilangan 2,082 kes positif ini adalah daripada jumlah seramai 32,380 individu yang telah disaring COVID-19 iaitu pada kadar positif 6.43 peratus.

Dalam tempoh yang sama juga, sebanyak 279 buah rumah panjang di Sarawak telah di lockdown bagi tujuan mengekang perebakan jangkitan COVID-19.

Sehingga 09 Mac 2021, sebanyak 68 buah rumah panjang ini masih dalam arahan lockdown.

Selebihnya, iaitu 211 buah rumah panjang telahpun diberi pelepasan arahan lockdown setelah didapati jangkitan COVID-19 di rumah panjang tersebut adalah dalam keadaan terkawal.

Sumber: Kenyataan Media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak 9 Mac 2021

Monday, March 08, 2021

Penagih dadah potong kepala kucing disumbat ke penjara

Majistret membenarkan rayuan tertuduh, Jaferi Suman yang tidak diwakili peguam supaya hukuman penjaranya dilaksanakan mulai tarikh dia ditahan pada 5 Julai 2020.

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret Kota Belud menjatuhkan hukuman penjara dua tahun lima bulan ke atas seorang lelaki yang mengaku bersalah membunuh seekor kucing dengan memotong kepala haiwan itu di Kampung Timbang Dayang, Kota Belud, Julai tahun lalu.

Majistret Lovely Natasha Charles menjatuhkan hukuman itu terhadap Jaferi Suman, 32, yang didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Mengikut keterangan kes, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira 3 petang 3 Julai 2020 di depan anak pengadu yang juga pemilik kucing terbabit.

Susulan itu, pengadu terbabit membuat laporan polis keesokannya dan tertuduh ditahan pada 5 Julai 2020.

Kejadian itu turut menyebabkan dua anak pengadu trauma, selepas melihat tertuduh yang juga jiran mereka membunuh kucing terbabit menggunakan parang.

Mengikut keterangan kes, siasatan mendapati tertuduh ialah penagih dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.

Terdahulu dalam rayuannya, Jaferi meminta hukuman itu dilaksanakan mulai tarikh dia ditahan, iaitu 5 Julai 2020 dan majistret membenarkan rayuannya.

Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Mohd U’kasyah Hashim. 

Sumber: FREEMALAYSIATODAY

Saturday, March 06, 2021

Kluster terbaru - Kluster Bukit Tunggal, Julau

 


Hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan satu (1) kluster baharu di Daerah Julau iaitu Kluster Bukit Tunggal.

Kluster komuniti ini melibatkan dua buah rumah panjang di Nangga Lioh dan Nangga Sebuntang di kawasan Bukit Tunggal, Durin, Julau.

Indeks kes kepada kluster ini merupakan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 69 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala di klinik kesihatan pada 25 Februari 2021. 

Perebakan jangkitan COVID-19 dalam kalangan penduduk di Bukit Tunggal ini dipercayai melibatkan aktiviti gotong-royong menuai padi sawah.

Hasil siasatan awal dan pengesanan kes secara aktif di dua (2) rumah panjang tersebut, seramai 28 kes tambahan telah dikesan.

Dengan itu, dua rumah panjang di Nangga Lioh dan Nangga Sebuntang telah diletakkan di bawah Lockdown untuk tempoh 14 hari mulai 1 Mac 2021.

Sehingga 06 Mac 2021, jam 12:00 tengah hari, sejumlah 139 telah disaring di mana;

• 29 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk indeks kes.

• 94 individu negatif, dan

• 16 individu masih menunggu keputusan.

Stay Vigilant, Stay Safe, Stay Healthy, Save Lives Jaga Sarawak, Intu Sarawak

SEKRETARIAT

JAWATANKUASA PENGURUSAN BENCANA NEGERI SARAWAK

06 MAC 2021

5.00 PETANG

Tuesday, March 02, 2021

Orang awam diseru tidak lakukan pembakaran terbuka


Negara sedang mengalami peralihan Monsun Timur Laut sejak akhir Februari dan musim panas bermula pada Mac hingga Mei yang menyaksikan cuaca panas dan angin dari timur laut pada siang hari.

Ini akan menyebabkan kawasan semak samun menjadi kering dan mudah terbakar akibat cuaca panas atau "diganggu".

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Sarawak, Khirudin Drahman@Hussaini berkata, JPBM Negeri Sarawak telah mengadakan persiapan sebarang kemungkinan dalam menghadapi kebakaran hutan di seluruh negeri Sarawak.

Kawasan tumpuan seperti di utara Sarawak seperti Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas perlu diberi pertimbangan dari segi rondaan dan tinjauan udara oleh agensi yang bertanggungjawab.

Menurut Khirudin, rondaan berkala oleh anggota bomba ke kawasan hotspot turut dilakukan bertujuan memberi nasihat dan advokasi kepada pekebun juga peladang dan makluman koordinasi bersama agensi juga penting seperti Jabatan Alam Sekitar dan juga Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak.

"Saya menyeru dan mengesyorkan agar komuniti melaksanakan tanggungjawab positif bersama dalam mengelakkan pembakaran terbuka atau pembakaran  yang disengajakan".

"Bagi individu atau pekebun kecil pembakaran dilakukan dalam kuantiti kecil dan dikawal dengan kepungan parit atau menyediakan sumber pemadaman disamping mendapat bimbingan, nasihat serta kelulusan dari agensi yang bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan media semalam.

Selain itu, pemberitahuan maklumat kebakaran melalui media sosial juga amat penting dan orang awam digesa untuk memberi respon segera kepada pihak bomba untuk tindakan lanjut.



Manakala pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka berikutan cuaca panas dan kering sekarang.

Individu yang dapati melakukan kebakaran terbuka boleh ditangkap dan denda maksimun sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 29(A) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Artikel: Admin Sarikei Virals

Monday, March 01, 2021

Kemudahan WiFi kepada penduduk Kampung Rajang

Gambar ihsan: Lembah Rajang

TANJUNG MANIS: Penduduk Kampung Rajang bakal menikmati perkhidmatan WiFi apabila menara Sacofa yang didirikan dapat dimanfaatkan bersama oleh penduduk sekitar berkenaan.

Inisiatif daripada kerajaan negeri Sarawak melalui Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) telah dilaksanakan oleh Sacofa sebagai agensi yang dilantik.


Gambar ihsan: Lembah Rajang

"Bukan di Kampung Rajang sahaja, malah menara akan turut didirikan di kampung Jerijeh, Belawai, Tanjung Manis, Selalang dan Taman Susur Jambu, Sarikei"

Kerajaan negeri prihatin untuk kemudahan rakyat di kawasan luar bandar dengan memberi perkhidmatan WiFi percuma selama 6 bulan untuk penduduk sekitar kawasan DUN Kuala Rajang.


Lawatan oleh Datu Len dan Yusuf Abd Wahab pada 2 Februari 2021.

Dalam lawatan oleh Datu Hj Len Talif Salleh ADUN Kuala Rajang dan Ir. Yusut Abd Wahab, Ahli Parlimen Tanjong Manis pada 2 Feb lepas, mereka telah diberi taklimat oleh Pengurus Sacofa Sarawak, Encik Kelana Kipli berkenaan projek tersebut di perkarangan Masjid Darul Ibadah, Kampung Rajang.

Dalam pada masa yang sama, kedua-dua wakil rakyat menyokong penuh projek inisiatif kerajaan negeri tersebut dalam memberi perkhidmatan dan kemudahan kepada penduduk kawasan berkenaan untuk dinikmati bersama dalam pembangunan arus semasa.

Projek yang dijangka siap dalam masa 2 minggu ini adalah sebagai pertambahan liputan fibre-optik di kawasan bandar dan luar bandar oleh pihak Telekom Malaysia bagi perkhidmatan jalur lebar internet.

Sumber rujukan: Lembah Rajang

Laman Web Palsu Cabutan Bertuah Petronas

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah mengesan satu pautan palsu yang tular dikongsi melalui platform whatsapp berken...

Artikel Pilihan