Friday, February 26, 2021

Vaksin Covid-19 Tiba Di Betong


Hari ini, vaksin Pfizer-BioNTech telah tiba di Klinik Kesihatan Mid - Layar Betong pada petang tadi.

Vaksin yang telah tiba ini adalah untuk para petugas barisan hadapan di daerah Betong.


Menurut Gerald Rentap Jabu, ADUN Layar, di halaman facebooknya, barisan hadapan akan menerima vaksin Covid-19 ini pada esok 27 Februari 2021.

Beliau juga turut berpesan kepada semua penduduk Betong untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri dalam menangani pandemik Covid-19.

Wednesday, February 24, 2021

Hebahan Awam berkaitan Vaksin Covid-19


Kepada semua penduduk di daerah Sarikei / Meradong / Julau / Pakan

Program Vaksinasi COVID-19 telah dilancarkan di Malaysia dan akan dilaksanakan secara berperingkat. Vaksin ini adalah selamat dan berkesan untuk melindungi individu daripada penyakit berjangkit.

Suntikan vaksin ini adalah PERCUMA dan secara SUKARELA kepada individu 18 tahun dan ke atas dan diberikan dua dos bagi memastikan perlindungan sepenuhnya dapat dicapai.

Pendaftaran vaksinasi boleh dibuat dengan beberapa cara iaitu melalui aplikasi Mysejahtera, menerusi website www.vaksincovid.gov.my dan membuat pendaftaran di klinik dan hospital awam. 

Semua pendaftaran adalah tanda setuju untuk mendapatkan vaksin.

Siapakah yang layak menerima vaksin COVID-19?

Semua individu berusia 18 tahun dan ke atas yang memenuhi kriteria yang ditetapkan KECUALI mempunyai sejarah alahan serius terhadap vaksin serta ubat-ubatan, ibu mengandung atau ibu yang menyusukan anak dan individu yang berusia 18 tahun ke bawah.

Terbahagi kepada tiga kumpulan sasaran iaitu:

1. Kumpulan sasaran pertama: petugas barisan hadapan (Frontliner)

2. Kumpulan sasaran kedua: warga emas(berumur lebih 60 tahun), individu yang menghidapi penyakit kronik seperti Darah Tinggi, Kencing Manis, Penyakit jantung, penyakit saluran pernafasan, obesiti dan Orang Kelainan Upaya(OKU)

3. Kumpulan sasaran ketiga: individu berusia 18 tahun dan ke atas

Maklumkan kepada doktor atau jururawat sebelum anda diberi vaksin jika anda

1. Mempunyai alahan terhadap sebarang vaksin dan ubat-ubatan.

2. Berasa tidak sihat dan deman dengan suhu badan yang tinggi

3. Mempunyai masalah pendarahan

4. Sistem ketahanan badan yang lemah akibat penyakit

Penerima vaksin perlu membuat pemantauan sendiri selepas vaksinasi dan jika perlu anda boleh mendapatkan rawatan kesan sampingan vaksinasi di klinik kesihatan atau hospital berdekatan.

Pematuhan SOP norma baharu masih perlu diteruskan selepas menerima suntikan vaksin.

Semua penduduk perlu mengamalkan 3W dan mengelakan 3C iaitu basuh tangan anda dengan sabun atau hand sanitizer, penjarakan fizikal 1 meter daripada orang lain dan pakai pelitup muka,

Perhatian!! Sehingga kini BELUM ADA Vaksin COVID-19 DIJUAL SECARA SAH di pasaran Malaysia.

Layari www.vaksincovid.gov.my untuk mendapatkan info vaksin COVID-19.

#Lindungi diri. Lindungi Semua

Tuesday, February 23, 2021

Kluster Terbaru - Kluster Jalan Muhibbah, Betong

Dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak pada 23 Feb 2021

Hari ini, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan SATU (1) kluster baharu di Daerah Betong iaitu:

I. Kluster Jalan Muhibbah, Betong

Kluster Jalan Muhibbah yang melibatkan di Daerah Betong adalah kluster komuniti yang berlaku di sebuah rumah kediaman, Jalan Muhibbah di Bandar Betong melalui perhimpunan sosial persendirian pada 10 Februari 2021.

Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke 7,407 iaitu seorang lelaki berumur 50 tahun warga tempatan (Sarawak) yang dikesan melalui saringan bergejala pada 16 Februari 2021.

Kes indeks ini mula mengalami gejala dan menunjukkan tanda-tanda pada 14 Februari 2021.

Hasil saringan dan pengesanan kontak rapat kepada indeks kes ini, tambahan 17 kes positif COVID-19 baharu telah dikesan. Sejumlah 110 individu telah disaring di mana;

• 18 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk indeks kes.

• 45 individu negatif, dan

• 47 individu masih menunggu keputusan.

Kesemua 18 kes tersebut telah dimasukkan ke Hospital Sarikei dan PKRC Sarikei bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut.

Monday, February 22, 2021

Kluster Sungai Bakong, Meradong

24 Kes dilaporkan di Meradong pada hari ini.

Kluster Sungai Bakong yang dikesan di Daerah Meradong, Sarikei adalah kluster komuniti yang berlaku melibatkan pelajar yang mendiami asrama Murni di SMK Meradong yang terletak berhampiran dengan Sungai Bakong di Pekan Meradong. 

Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-7,435 yang telah dikesan melalui saringan bergejala pada 15 Februari 2021 setelah mula menunjukkan tanda dan gejala pada 12 Februari 2021.

Hasil saringan pengesanan secara aktif di asrama sekolah tersebut mendapati terdapat penambahan 21 kes positif telah dikesan.

Sehingga 22 Februari 2021, jam 12:00 tengah hari sejumlah 593 individu telah disaring di mana;

• 22 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk indeks kes.

• 37 kes negatif, dan

• 534 kes masih menunggu keputusan makmal.

Kesemua 22 kes tersebut telah dimasukkan ke Hospital Sarikei dan PKRC Sarikei bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut. 

Semua guru, kakitangan dan pelajar asrama di SMK Meradong yang telah terdedah juga telah diarahkan untuk menjalani kuarantin dan kawalan pergerakan yang terhad di dalam sekolah sahaja.

Tiada kematian melibatkan kluster ini.

Sementara itu, Meradong mencatatkan 24 kes pada hari ini.  19 kes yang melibatkan Kluster Sungai Bakong.

Manakala 5 kes merupakan individu yang disaring melalui pengesanan kes secara aktif kontak kepada kes positif COVID-19.

Friday, February 19, 2021

2 Kluster Terbaru Di Sri Aman Dan Kuching

 


Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan dua (2) kluster baharu jangkitan COVID-19 seperti berikut:


I. Kuster Jalan Green, Kuching

Kluster Jalan Green adalah satu kluster komuniti yang telah dikesan di Daerah Kuching.

Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-7,093 dan ke-7,094 yang telah dikesan melalui saringan orang kena tahan (OKT) tangkapan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) pada 14 Februari 2021 di Daerah Kuching. 

Hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak-kontak kepada kedua-dua kes indeks ini, tambahan empat (4) kes telah dikesan.

Sehingga 19 Februari 2021, jam 12:00 tengah hari seramai 148 individu telah disaring dimana 6 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk indeks kes.

• 30 kes negatif, dan

• 112 kes masih menunggu keputusan.

Kesemua enam (6) kes telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut. Tiada kematian melibatkan kluster ini.

II. Kluster Kejatau, Sri Aman.

Kluster Kejatau adalah satu kluster di tempat kerja yang melibatkan sebuah pejabat kerajaan di Wisma Persekutuan Fasa 2, Jalan Kejatau, di Daerah Sri Aman. 

Indeks kes kepada kluster ini adalah kes ke-7,437 iaitu seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 27 tahun yang telah dikesan melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Sri Aman. 

Hasil pengesanan dan saringan ke atas kontak-kontak kepada kes indeks ini, tambahan enam (6) kes telah dikesan iaitu lima (5) kes dalam kalangan rakan sekerja dan satu (1) kes dalam kalangan ahli keluarga. Empat (4) kes baharu dilaporkan hari ini.

Sehingga 19 Februari 2021, jam 12:00 tengah hari seramai 92 individu telah disaring dimana

• 7 kes telah dikesan positif COVID-19 termasuk indeks kes.

• 6 kes negatif, dan

• 79 kes masih menunggu keputusan.

Kesemua enam (6) kes telah dimasukkan ke PKRC Sri Aman bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut. Tiada kematian melibatkan kluster ini.

Jalan Rosak, Aplikasi 'JKR ROADCARE SARAWAK' Diperkenalkan

Platfom Aduan jalan rosak melalui Aplikasi ‘Whatsapp JKR Sarawak RoadCARE’ mudahkan pengguna jalan salurkan maklumat

KUCHING, 19 Februari 2021: YBhg. Datu Ir. Haji Zuraimi Bin Haji Sabki, Pengarah Kerja Raya Sarawak telah menyempurnakan ‘Majlis Pelancaran JKR Sarawak RoadCARE melalui Aplikasi Whatsapp’  bertempat di Bilik Muhibbah, Ibu Pejabat JKR Sarawak kelmarin.

Inisiatif berkenaan diperkenalkan bagi memudahkan orang ramai menyalur aduan dan maklumat/photo agar lokasi kerosakan jalan raya dapat dikenal pasti untuk diambil tindakan segera.


YBhg. Pengarah Kerja Raya berkata, platform saluran aduan termasuk diakses menerusi telefon pintar itu merupakan alternatif kepada aduan sedia ada dan bersifat mesra pelanggan. Dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam, ia juga merupakan penambahbaikan dalam aspek urusan penyelenggaraan jalan oleh JKR Sarawak kepada orang ramai.



Menurut beliau, platform khas aduan JKR Sarawak RoadCARE tersebut akan menggunakan aplikasi WhatsApp menerusi talian +6011-70171777 atau +6011-70172777 untuk kemudahan pengguna jalan. Aplikasi bergerak ini membolehkan aduan yang diterima diproses dengan cepat dan lebih sistematik, begitu juga maklum balas kepada pengadu akan dapat diberikan dengan segera.



Turut sama hadir dalam majlis pelancaran tersebut, Ir. Richard anak Tajan (Timbalan Pengarah Pengurusan Aset), Ir. Wisil anak Lichok (Timbalan Pengarah Hal Ehwal Korporat), Encik Ting Sie Loh (Ketua Aset), Ir. Awang Mohd. Fadillah Bin Awang Redzuan (Penolong Pengarah Aset Jalan & Kejuruteraan Sivil), Jurutera-jurutera Bahagian, pegawai-pegawai ibu pejabat JKR Sarawak serta pihak konsesi-konsesi jalan negeri dan persekutuan.


Sumber: Corporate Communication JKR Sarawak

Semakan i-Sinar Pada 8 Mac 2021


Untuk makluman, permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac 2021. semakan status bayaran dan kelulusan i-Sinar boleh disemak pada hari tarikh berkenaan.



Menerusi pautan dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja di facebook , permohonan tanpa kriteria akan bermula pada 8 Mac di mana pencarum merupakan ahli KWSP, belum mencapai umur 55 tahun dan mempunyai baki Akaun 1 sekurang-kurangnya minimum RM150.00



Sebaliknya, tiada lagi bayaran interim akan dilakukan bagi ahli yang belum menerima bauaran tersebut berikutan pemansuhan kriteria sedia ada. Ahli akan terus menerima pembayaran pertama mengikut amaun yang dipohon.


Sumber: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja

Thursday, February 18, 2021

𝐊𝐮𝐦𝐩𝐮𝐥𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐠𝐠𝐨𝐝𝐚𝐦 '𝐀𝐧𝐨𝐧𝐲𝐦𝐨𝐮𝐬 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐬𝐢𝐚' 𝐝𝐢𝐭𝐚𝐡𝐚𝐧


SHAH ALAM - Polis memberkas 11 lelaki dalam serbuan berasingan di seluruh negara dipercayai terbabit dalam aktiviti menggodam sistem komputer kerajaan.


Tujuh serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sekitar Lembah Klang, Perak, Johor, Pahang selepas melakukan risikan dan intipan sejak seminggu lalu.


Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semua suspek yang diberkas berusia lingkungan 22 hingga 40 tahun.


Menurutnya, siasatan mendapati ada antara yang ditahan adalah pentadbir akaun Facebook Anonymous Malaysia.


"Tangkapan dibuat ekoran ugutan dan ancaman oleh kumpulan berkenaan untuk menggodam sistem komputer kerajaan sejak beberapa tahun lalu dan setakat ini enam laporan polis diterima di seluruh negara.


"Pada masa ini, pihak polis masih lagi dalam proses menjalankan siasatan dengan lebih lanjut untuk mengenal pasti saki baki suspek lain sebelum proses tangkapan susulan dilakukan," katanya selepas melawat sekatan jalan raya di Plaza Tol Setia Alam di sini pada Khamis.


Hadir sama, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.


Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, kesemua suspek yang ditahan disyaki menjalankan serangan siber terancang terhadap laman web kerajaan dan swasta.


Katanya, kesemua suspek direman selama tiga hari bermula Khamis untuk siasatan mengikut Seksyen 4, Akta Jenayah Komputer 1997.


Pada 26 Januari lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) mengeluarkan satu notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah-langkah perlu bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan siber.


MKN dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan serius itu diambil berikutan ancaman untuk menggodam laman web kerajaan menerusi penularan satu video di media sosial dikeluarkan 'Anonymous Malaysia' di platform media sosial baru-baru ini.


Sinar Harian


2 Kes Kematian Baharu Covid-19 Hari Ini Di Sarawak

I. Kes Kematian Ke-66.

Kes kematian ke-66 merupakan kes ke-5,501 melibatkan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 72 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami gejala demam, batuk dan memerlukan bantuan pernafasan. Saringan ujian rt-PCR telah dibuat dan dikesan positif pada 06 Februari 2021.

Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 17 Februari 2021. Kes juga mempunyai ko-morbid Penyakit Darah Tinggi dan Kencing Manis.



II. Kes Kematian Ke-67.

Kes kematian ke-67 merupakan kes ke-5,883 melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) berumur 66 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu kerana mengalami masalah kesukaran bernafas. 

Saringan ujian rt-PCR telah dibuat dan dikesan positif pada 08 Februari 2021. 

Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia pada 17 Februari 2021. Kes juga mempunyai ko-morbid Penyakit Darah Tinggi dan Dislipidemia. 

Dimaklumkan kes ini adalah daripada Kluster Pasai.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak mengucapkan ucapan Takziah kepada semua ahli keluarga mangsa

Laman Web Palsu Cabutan Bertuah Petronas

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) telah mengesan satu pautan palsu yang tular dikongsi melalui platform whatsapp berken...

Artikel Pilihan